Breaking News

Bumi Palestin Terus Dijajah!

Bumi Palestin Terus Dijajah!

Oleh : Mohamad Abi Muslim bin Hassan

Jika dalam seminggu dua ini kalian mendengar berita Gaza sekali lagi diserang, kalian perlu faham sebabnya.

Kerana kalau pun Gaza yang memulakan serangan dengan melancarkan roket ke dalam tanah jajahan Israel, ia didorongi sebab yang jelas.

Sebabnya isu pengilhakkan (annexation) sekitar 30 peratus penempatan haram Zionis di Tebing Barat.

Apa sejarah di balik penempatan haram Zionis ini dan kenapa Palestin begitu marah dengan berita perancangan mengesahkan kuasa kerajaan haram Israel ke atasnya pada awal bulan hadapan?

Antara isu yang paling panas dalam konflik Palestin–Israel ialah isu Kota Al-Quds dan pemilikannya.

Kota Al-Quds berada di dalam kawasan Tebing Barat yang dinamakan sebagai Tebing Barat kerana berada di sebelah barat Sungai Jordan.

Sehingga 1967, kawasan ini berada di bawah kuasa Jordan sehinggalah Perang Enam Hari apabila penjajah mengambil alih kawasan berkenaan termasuk kawasan timur Kota Al-Quds yang diduduki penduduk Palestin.

Apa strategi yang digunakan untuk memastikan kawasan itu kekal di bawah kuasa penjajah? Strateginya menggalakkan pembukaan penempatan haram di seluruh kawasan Tebing Barat, termasuk di Kota Al-Quds sehingga dunia 'terpaksa' menerima hakikat kawasan terbabit diduduki secara bilateral.

Penempatan ini disebut sebagai haram kerana melanggar undang-undang antarabangsa seperti yang termaktub di dalam Konvensyen Geneva yang menjamin perlindungan penduduk yang dijajah dan menghalang pemindahan orang lain ke tanah mereka.

Penempatan ini juga ditolak Mahkamah Keadilan Antarabangsa dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), malah dalam banyak keadaan ditolak oleh Amerika Syarikat sendiri walaupun penyokong tegar Israel.

Tahun 1970-an terdapat sekitar 167,000 penduduk Yahudi di seluruh Tebing Barat.

Saat ini, mereka melebihi setengah juta orang penduduk.

Pendatang haram memilih untuk berpindah ke penempatan ini dengan meninggalkan negara asal mereka atas dua sebab utama. Pertama mereka percaya bahawa bumi itu atau secara lebih khusus kawasan yang dipanggil Judea dan Samara adalah bumi yang dijanjikan untuk mereka, justeru, kembali kepadanya adalah tuntutan agama.

Tetapi, majoriti pendatang generasi baru yang ditanya sebab pemindahan mereka memberi jawapan kedua yang lebih meyakinkan.

Sebabnya ialah kerajaan Israel sendiri, dalam usaha menggalakkan kawasan itu diduduki Yahudi menjadikannya seperti 'syurga' dengan kos perumahan yang disubsidi, kemudahan infrastruktur bertaraf dunia dan sistem pendidikan terbaik.

Pada masa sama, penduduk Palestin terus ditekan.

Mereka tidak diberi lesen untuk membina rumah, didakwa atas tuduhan membina di atas tanah kerajaan dan tanah awam, terpaksa berdepan pencerobohan berkala, dikelilingi pos kawalan tentera dan halangan di jalan raya, dipaksa membayar lesen perumahan dengan nilai melebihi RM300,000, malah sampai ke tahap dipaksa merobohkan rumah dengan tangan sendiri setelah gagal memenuhi 1001 tuntutan penjajah untuk mendapat hak meneruskan kehidupan.

Di dalam Kota Al-Quds sendiri keadaan lebih getir.

Rumah penduduk Palestin dibeli oleh kerajaan Zionis dengan nilai berkali ganda hasil sumbangan gerakan di peringkat antarabangsa untuk menguasai demografinya.

Mereka mengumumkan undang-undang tidak masuk akal seperti membenarkan penduduk Yahudi sahaja membeli hartanah di kawasan Yahudi dalam Kota Al-Quds sedangkan kawasan Muslim, Kristian dan Armenia boleh dimiliki oleh sesiapa saja.

Penduduk Palestin di Al-Quds Timur walaupun hidup di bawah kerajaan penjajah, dianaktiri dan dipaksa berada di bawah autoriti tentera.

Sembilan puluh peratus perbelanjaan kerajaan untuk pembangunan infrastruktur sekolah, taman awam, jalan raya dan sebagainya dibelanjakan di Al-Quds Barat yang diduduki penduduk Yahudi.

Maka tekanan demi tekanan ini sedang menyebabkan bumi Palestin semakin menggelegak. Dan penduduk tidak akan terus berdiam diri.

Sekiranya saki-baki bumi ini diilhakkan oleh Zionis, maka rantau ini akan meletup dan laharnya akan dirasai oleh semua.

Justeru, jika terbaca berita perang sekali lagi meletus di Palestin, jangan sibuk bertanya siapa yang bersalah dan siapa yang melepaskan roket dulu.

Soalnya siapakah yang sedang menjarah dan mencuri bumi ini sedikit demi sedikit sehingga penduduk Palestin terbuang di tanah air sendiri?

Penulis Adalah : Mahasiswa Fakultas Syariah dan Hukum UINAR Banda Aceh, asal Negara Malaysia

Sponsored:
Loading...
Sponsored:
Loading...